Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) ketika melawat Pusat Pengumpulan Padi di Melang di sini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) ketika melawat Pusat Pengumpulan Padi di Melang di sini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Biarpun bukan negeri pengeluar utama padi, kerajaan negeri tetap membeli padi daripada pesawah di negeri ini pada harga munasabah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui syarikat yang dilantik menawarkan harga belian padi di negeri ini pada harga RM1,600 per tan metrik.

Bagaimanapun katanya, harga berkenaan akan ditolak sebanyak 20 peratus sekiranya terdapat padi yang rosak, padi muda, tidak cukup masak, basah serta terdapat kekotoran yang dihantar ke pusat pengumpulan padi.

"Harga ditawarkan cukup cukup baik dan berharap semua pesawah dapat mengambil tanggungjawab bagi menghasilkan padi berkualiti.

"Kita ada 80 pesawah di seluruh negeri yang ketika ini terbabit mengusahakan padi seluas 750 hektar," katanya ditemui selepas melawat pusat pengumpulan padi Negeri Sembilan dan menyaksikan penghantaran pertama hasil tuaian padi di Pusat Mekanisasi Peladang, di sini, tadi.

Jalaluddin berkata, selain tanggungjawab dan peranan pesawah, kerajaan negeri juga akan memastikan kualiti padi dipertingkatkan dari semasa ke semasa sekaligus memenuhi keperluan beras penduduk di negeri ini.

Katanya, selain penggunaan benih padi berkualiti, pembajaan dan penjagaan yang lebih sistematik boleh meningkatkan lagi pengeluaran sehingga enam tan metrik padi per hektar.

"Sebelum hasrat kita mahu mengeluarkan beras jenama negeri ini, usaha meningkatkan pengeluaran padi perlu dilakukan terlebih dahulu terutama menambah jumlah kawasan penanam padi baharu di seluruh negeri," katanya tadi.

Mengulas mengenai pusat pengumpulan padi yang pertama di negeri itu, Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata sebaik beroperasi, pusat berkenaan sudah mengumpul sebanyak 15 tan metrik padi ditanam pesawah.

Katanya dijangka sebanyak 30 tan metrik lagi akan diterima sebaik musim menuai dibeberapa lokasi sawah padi bermula 21 hingga 26 Februari ini selesai dijalankan

"Padi berkenaan akan dikumpulkan sebelum dibawa ke kilang sebelum beras yang dihasilkan dibawa semula ke negeri ini,",katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 4:27 PM