Baharom Bakar

Setiu: Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), akan meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 100 tan metrik sebulan, berbanding hanya 60 tan metrik sebulan sejak Julai lalu.

TADC akan bekerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras berikutan penanaman padi musim pertama sudah berakhir Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komuditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembelian beras tempatan daripada kilang Bernas diperlukan bagi menampung permintaan beras di negeri ini.

"Bagi memastikan bekalan beras tempatan dikeluarkan TADC mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Terengganu sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Afiq dan Eksekutif Pemasaran TADC Abd Hafidz Sabri Azlan meninjau proses pembungkusan Berasganu MyGap di Kampung Telaga Papan di sini, hari ini.

Mohd Afiq menyusun beras tempatan dikeluarkan TADC, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Mohd Afiq menyusun beras tempatan dikeluarkan TADC, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi berkata, TADC membelanjakan RM270,000 untuk pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan.

"Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa Jumaat lalu, tapi kita akan memastikan tiada kenaikan harga bagi beras Super Special Tempatan (SST) dikeluarkan TADC.

"Kita akan pastikan Berasganu My GAP dikeluarkan TADC dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram dan RM25.60 bagi setiap pek 10 kilogram," katanya.

Berkaitan hasil pengeluaran padi, Dr Azman berkata, jumlah pengeluaran padi di negeri ini meningkat kepada 75,013 tan metrik pada 2021 berbanding 73,068 tan metrik pada 2020.

Bagaimanapun, katanya, hasil pengeluaran padi pada tahun lalu mengalami penurunan disebabkan banjir luar jangka pada Februari dan Disember yang memusnahkan banyak kawasan padi, selain tanaman itu diserang wabak penyakit.

"Padi dihasilkan pesawah di negeri ini diproses di beberapa kilang, termasuk Kilang Padi Konsortium PP Terengganu Sdn Bhd milik Lembaga Pertubuhan Peladang di Kampung Dalam Oh, Jabi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 1:37 PM