ARTHUR Joseph Kurup ketika sidang media yang diadakan selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2024 Bersama Agensi KPKM Di Sabah bertempat di Dewan Kinabalu, Bangunan KWSP.  FOTO Rafiqah Dahali
ARTHUR Joseph Kurup ketika sidang media yang diadakan selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2024 Bersama Agensi KPKM Di Sabah bertempat di Dewan Kinabalu, Bangunan KWSP. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang berkuatkuasa hari ini dijangka bakal meningkatkan pendapatan golongan pesawah di dua negeri itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan sebelum ini bersetuju untuk menyelaras harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak daripada RM900 kepada RM1,300 agar selaras dengan harga di Semenanjung Malaysia.

Katanya berdasarkan unjuran Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM, penetapan harga lantai belian padi baharu akan meningkatkan pendapatan kasar pesawah di negeri Sarawak kepada 50 peratus setahun daripada RM6,681 setahun per hektar kepada RM10,375 setahun per hektar.

"Berdasarkan data Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dianggarkan seramai 17,298

pesawah padi (bukan padi huma) akan menerima manfaat peningkatan pendapatan

seiring dengan harga lantai belian padi baharu," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2024 Bersama Agensi KPKM Di Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan Persekutuan juga menyediakan beberapa insentif input bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran padi yang ditanggung golongan pesawah.

Antaranya ialah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Selain itu, katanya penetapan itu hanya membabitkan beras putih saja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 3:13 PM