Norzamira Che Noh


Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu bekalan beras putih tempatan di negeri ini cukup sehingga hujung bulan ini.

Beliau berkata, Selangor memerlukan kira-kira 45,500 tan beras sebulan bagi kegunaan lebih enam juta rakyat dan berdasarkan bekalan beras yang ada ketika ini ia cukup.

"Sebenarnya, setakat ini (September), kita masih mempunyai baki sekitar 20,000 tan beras yang mana ia cukup untuk kegunaan sehingga hujung bulan ini.

"Malah, semalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sudah memanggil pihak dari Kawalselia Padi dan Beras Selangor dan jaminan yang diberikan mereka yang kita akan mendapat tambahan bekalan berikutan musim menuai di utara Selangor dan utara Semenanjung Malaysia bermula akhir bulan ini.

"Justeru, kita tidak ada masalah (bekalan beras), yang menjadi masalah adalah mereka yang membuak-buak cerita mengenainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan pelancaran logo baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, Selangor masih mempunyai 20,000 tan beras tanpa menyentuh stok imbalan, justeru beliau menyeru pada rakyat supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan makanan ruji itu mencukupi.

Amirudin berkata, kapasiti pengeluaran beras di Selangor adalah 138,903.13 tan setahun di atas tanah keluasan tanaman padi sebanyak 18,061.53 hektar membabitikan seramai 6,871 orang pesawah.

Katanya, ia bersamaan dengan pengeluaran 4.19 tan metrik bagi setiap hektar.

"Tetapi, pada tahun lepas kita berjaya mengeluarkan sebanyak 75,000 tan (beras) sahaja di Sekinchan disebabkan penyakit padi dan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata mulai hari ini penduduk di negeri ini boleh membeli beras lima kilogram (kg) dengan harga serendah RM13 di tujuh lokasi iaitu outlet Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam; outlet Ehsan PKPS, Seksyen 9, Shah Alam; outlet Ehsan PKPS, Meru; Kiosk Ehsan, Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya dan tiga lori jualan bergerak Ehsan PKPS yang akan berada di sekitar Selangor.

"Kepada rakyat Selangor, jika ada kekurangan maklumkan dan kita akan hantar ke lokasi-lokasi berkenaan. Anda boleh menghubungi pihak kawal sedia padi dan beras di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.

"Kerajaan negeri melalui Kawalselia Padi dan Beras komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 6:51 PM
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan Pelancaran Logo Baharu PKPS di Wisma PKPS, Shah Alam.  FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan Pelancaran Logo Baharu PKPS di Wisma PKPS, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR