GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Harga jualan maksimum benih padi sah CL220 bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) ditetapkan pada kadar RM54 di peringkat pemborong dan RM58 di peringkat peruncit berkuat kuasa 15 April.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata, penetapan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Padi dan Beras 1944 (Akta 522) itu turut menetapkan harga tersebut hendaklah dipaparkan dengan jelas pada setiap kampit yang dipasarkan kepada pesawah serta penjualan benih padi dan racun bagi varieti CL220 perlu dijual secara berasingan.

"Manakala untuk pembelian dan simpanan benih padi di peringkat peruncit tidak melebihi 500 kampit per kampit 20 kilogram pada satu-satu masa melainkan terdapat keperluan untuk membeli atau menyimpan melebihi daripada jumlah tersebut perlu mendapat kelulusan dari Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Negeri.

"Berkaitan ini, penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak berwajib perlu dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, LPP menyambut baik keputusan kerajaan berhubung pengumuman kawalan harga itu selaras dengan Resolusi Sekuriti Makanan Negara oleh Majlis Penasihat Peladang LPP kali ke-71 pada 11 Jan lepas, yang mencari jalan penyelesaian atau cadangan kepada Pemerkasaan Benih Padi Sah dan Padi bagi memastikan pengeluaran benih padi sah dalam negara berkualiti dan mencukupi.

Beliau berkata, perkara itu juga selari dengan tanggungjawab Pergerakan Pertubuhan Peladang dalam memperkasakan penglibatannya untuk penghasilan benih padi sah berkualiti untuk pesawah yang juga hampir 90 peratus adalah ahli peladang.

"Selaras dengan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri berkaitan kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi beras daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan metrik dan ada juga sehingga kepada belian padi beras mencecah kepada RM1,800 per tan metrik.

"Ini telah memberikan impak kepada kenaikan harga bagi padi yang ditanam untuk dijadikan benih padi sah dan turut meningkatkan kos operasi pengeluaran padi benih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:04 PM