GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menambah jumlah penanaman padi di seluruh negara daripada 700,000 kepada sejuta hektar bagi meningkatkan jumlah pengeluaran beras tempatan.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Rafii Yusop berkata, kerajaan perlu mengambil langkah penambahan jumlah keluasan penanaman padi ini bagi menjamin keterjaminan makanan untuk jangka masa panjang.

Beliau juga mencadangkan agar penambahan keluasan penanaman padi ini dibuat di kawasan Rompin dan Pekan, Pahang.

"Kawasan Rompin dan Pekan masih lagi banyak tanah tidak diusahakan yang telah digazetkan untuk penanaman padi," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat melaksanakan langkah intervensi bagi menampung kekurangan beras tempatan sebelum bekalan kembali stabil sebulan lagi

Mengulas lanjut, Mohd Rafii berkata, antara langkah lain boleh diambil adalah dengan meningkatkan produktiviti pesawah dalam pengeluaran padi yang kini hanya kira-kira tiga atau empat tan bagi setiap satu hektar.

"Bagaimana kita boleh tingkatkan (pengeluaran padi) enam hingga tujuh tan secara purata? (Ia adalah) dengan menjalankan pengurusan sawah yang baik dan cekap," katanya.

Beliau juga memuji langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dengan mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan.

"Itu satu langkah yang baik. Tetapi ini juga mendorong kepada pesawah untuk meningkatkan pengeluaran hasil per hektar," katanya.

Menurutnya, polisi kerajaan yang telah bertahun tidak ke arah 100 peratus tahap sara diri kini dilihat memberikan kesan.

"Bila berlakunya peningkatan harga beras dan India menghentikan pengeksportan beras putih, inilah akibatnya.

"Disebabkan itu, kerajaan kita kena mempunyai rancangan untuk meningkatkan tahap sara diri untuk keterjaminan makanan negara bagi jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 6:32 PM