Kakitangan MBJB berkumpul di luar bangunan Menara MBJB selepas menerima maklumat ancaman bom pagi hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Kakitangan MBJB berkumpul di luar bangunan Menara MBJB selepas menerima maklumat ancaman bom pagi hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Ancaman bom yang diterima pengurusan Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, menerusi e-mel hari ini adalah palsu.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman mengesahkan menerima maklumat ancaman bom yang dihantar individu menerusi e-mel.

Menurutnya, susulan itu pihak pengurusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, arahan pengungsian bangunan dikeluarkan di mana kakitangan dan orang awam diminta berkumpul di lokasi menunggu kira-kira 12 tengah hari sehingga pemeriksaan dilaksanakan oleh pihak polis.

"Susulan pemeriksaan menyeluruh polis, kakitangan MBJB dibenarkan untuk kembali semula ke pejabat untuk bertugas pada 2 petang tadi.

"Pihak polis juga mengesahkan ancaman yang diterima adalah palsu," katanya memaklumkan semua 500 kakitangan MBJB selamat dan pejabat beroperasi seperti biasa.

Difahamkan, penduduk Filipina turut menerima ancaman bom menerusi e-mel daripada pengirim sama, hari ini sehingga menjejaskan operasi beberapa sekolah, syarikat dan pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:35 PM