RAZARUDIN Husain. FOTO NSTP.
RAZARUDIN Husain. FOTO NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu di beberapa sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh laporan diterima di Selangor selain Kuala Lumpur (lima laporan) ; Johor (tiga laporan) ; Pulau Pinang (dua laporan); Negeri Sembilan dan Perak (satu laporan) setakat 6 petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman itu dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama 'taktstorer' dalam bahasa Jerman yang bermaksud 'pengganggu ketenteraman' daripada penyedia perkhidmatan emel beeble.com.

Beliau berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penerimaan emel ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah terbabit segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis.

"Demi keselamatan, pengungsian (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi-lokasi berkumpul (assembly points) seperti mana ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan pulang.

"Tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat. Namun tiada sebarang ancaman yang dikesan," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dalam kes ini, siasatan mendapati emel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.

"Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.

"Kandungan asal emal ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemah," katanya.

Menurutnya, kandungan emel sama turut dikesan pernah dihantar ke 70 sekolah di Jamaica pada 12 November lalu melalui penyedia perkhidmatan emel sama.

Katanya, siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah.

"Suspek dipercayai mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

"Siasatan juga mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain," katanya.

Razarudin menegaskan, PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal.

"PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara.

"Siasatan menyeluruh terus dijalankan berhubung perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:23 PM