Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena Bulan Integriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras hari ini. FOTO BERNAMA
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena Bulan Integriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 44 laporan berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara sejak Selasa lalu sehingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah yang diterima itu membabitkan sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata akaun e-mel yang menggunakan nama "Taktstorer" itu dikenal pasti berasal daripada Cyprus dan alamat protokol internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah.

"Kami ada menghubungi Pengarah Pelajaran Negeri untuk sekolah yang mempunyai e-mel Google (untuk kenal pasti ancaman bom palsu)," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Razarudin berkata polis sudah menjalankan tindakan pembersihan keselamatan di sekolah terbabit yang kononnya ada ditanam bom di kawasan sekolah.

"Saya beri jaminan bahawa kepada ibu bapa, murid-murid dan guru-guru bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan polis, " katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati negara lain juga turut mendapat ancaman bom palsu seperti Jamaica (dikenal pasti sebanyak 70 panggilan bom palsu), Trinidad dan Tobago, Jerman dan Amerika Syarikat.

"Kita masih meneruskan siasatan kita dengan bantuan-bantuan negara terlibat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI)," katanya.

Sementara itu di PULAU PINANG, sebuah lagi sekolah iaitu sekolah menengah agama di Tasik Gelugor membuat laporan polis selepas menerima ancaman bom menerusi e-mel.

Ia menjadikan empat buah sekolah termasuk tiga buah sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata sekolah itu menerima e-mel berhubung ancaman bom itu Selasa lepas namun baru menyedari e-mel berkenaan hari ini.

"Kami menerima satu lagi laporan polis ancaman bom menerusi e-mel hari ini dari guru sebuah sekolah di Tasek Gelugor pada 1.55 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, PDRM menerima 37 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama "taktstorer" yang bermaksud pengganggu ketenteraman dalam Bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

Sementara itu di Perak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hari ini menerima laporan seorang guru besar di sebuah sekolah khas di Sitiawan yang menyatakan pihaknya menerima e-mel daripada seorang individu yang tidak dikenali berkaitan ancaman bom dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata e-mel itu diterima kira-kira 11.57 pagi pada 21 November.

"E-mel tersebut lebih berunsurkan kepada ugutan jenayah dengan menyatakan bahawa "bahan letupan telah ditanam di sekolah" dan turut mendatangkan kebimbangan secara menakut-nakutkan pihak sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 9:08 PM