PASUKAN penyelamat menggunakan 'safety line' untuk membawa mangsa menyeberangi sungai. FOTO Melvin Joni
PASUKAN penyelamat menggunakan 'safety line' untuk membawa mangsa menyeberangi sungai. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kapit: Sembilan keluarga yang terdiri daripada 41 orang diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap di tebing Sungai Yong, Bukit Goram di sini, akibat kepala air malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.32 malam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi terbabit.

Menurutnya, turut ke lokasi adalah dua pegawai polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu operasi menyelamat.

"Kesemua mangsa itu dari Bintulu dan berkhemah di tebing seberang sungai berkenaan sejak Sabtu lalu.

"Akibat hujan lebat yang melanda, air sungai naik secara tiba-tiba dan menyebabkan berlaku fenomena kepala air sekali gus kesemua mangsa terperangkap di lokasi ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi bertindak menyelamatkan kesemua mangsa dengan memasang 'safety line' untuk mereka menyeberangi sungai berkenaan kerana air deras pada paras kedalaman kira-kira 1.5 meter.

"Seterusnya anggota penyelamat menggunakan 'personal line' yang dipasang pada 'safety line' untuk membantu mangsa menyeberangi sungai seorang demi seorang sehingga kesemuanya berjalan diselamatkan," katanya.

Menurutnya, operasi itu tamat pada 9.56 malam dengan kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 12:51 PM