KETUA BBP Penampang, Zeno Tinggalan. FOTO Juwan Riduan
KETUA BBP Penampang, Zeno Tinggalan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Kegembiraan enam sekawan mandi sungai bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pogunon, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf, masing-masing berusia 17 tahun.

Empat lagi mangsa yang terselamat turut dikatakan berdepan detik cemas apabila terperangkap di sungai berkenaan.

Difahamkan, sebelum tragedi berlaku, keenam-enam mangsa cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika empat remaja sudah menyeberangi sungai, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras sungai naik mendadak.

Dua lagi mangsa yang masih berada di tengah sungai dilaporkan hanyut dan cuba diselamatkan oleh seorang daripada rakan mereka namun gagal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dan semua remaja berusia 17 tahun terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan," ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, setakat ini, operasi penyelamatan dan pencarian dua lagi mangsa hilang masih dijalankan. "Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Operasi pencarian turut dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 10:27 PM