NAJIB, gambar fail. FOTO AFP
NAJIB, gambar fail. FOTO AFP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh mengemukakan rayuan pengampunannya sekali lagi pada bila-bila masa atau selepas tiga tahun tempoh menjalani hukuman penjara.

Pengamal undang-undang Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, syarat itu tertera dalam Peraturan 113 dan Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, biarpun beliau baru memperoleh pengurangan hukuman penjara dan denda daripada Lembaga Pengampunan.

Di bawah Peraturan 113 itu, biarpun Najib masih tertakluk peraturan perlu menyelesaikan tempoh tiga tahun menjalani hukuman penjara sebagai syarat untuk memohon pengampunan kali kedua, namun ada opsyen lain iaitu Peraturan 43 yang membolehkan beliau memohon pengampunan pada bila-bila masa atas sebab yang dipanggil 'keadaan khas'.

"Biasa 'keadaan khas' ini merujuk kepada banduan yang uzur atau sakit. Ketua Pengarah Penjara pada bila-bila masa boleh mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan supaya banduan ini diberi remitan.

"Ini mungkin ruang akan digunakan pasukan pembelaan Najib, jika kita mendengar kenyataan peguamnya semalam. Pada hemat mereka, mungkin ada kekhilafan dalam kenyataan dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan. Dia nak bawa (alasan pengampunan) ke arah dokumen teknikal ini," katanya.

Kekhilafan itu kata beliau, mungkin merujuk kepada kenyataan dikeluarkan urus setia Lembaga Pengampunan minggu lalu, antara lain menyebut Najib diberi pengurangan 50 peratus hukuman dan denda, namun kadar denda diturunkan tak sama dengan kadar peratusan ditetapkan.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam menyatakan hasrat untuk mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, namun masih menunggu arahan daripada anak guamnya itu untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, alasan membuat satu lagi permohonan bagi mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Ibrahim kerana berpandangan Lembaga Pengampunan tidak melaksanakan tugas seperti dikehendaki Perlembagaan.

Mengenai kriteria dan jangka masa permohonan baharu itu, Muhammad Shafee menegaskan ia tidak akan dilakukan terlalu cepat.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Najib masih boleh mendapatkan apa-apa pengampunan selepas ini jika beliau disabitkan kesalahan berkait kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam perbicaraan, Shamsuddin berkata, petisyen pengampunan masih boleh dipohon atas sabitan kes yang berbeza.

Katanya, di bawah Peraturan 113 itu, seseorang yang dipenjarakan boleh memohon petisyen pengampunan untuk kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya, sementara bagi sabitan kes lain pula, ia juga dibenarkan mengikut syarat ditetapkan dalam peraturan yang sama.

Pada 2 Februari lalu, Najib dilapor diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 4:52 PM