GAMBAR fail
GAMBAR fail
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Majlis Peguam dijangka akan memfailkan semakan kehakiman terhadap pengampunan Datuk Seri Najib Razak selepas usul mencabar pengampunan bekas Perdana Menteri itu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam, hari ini.

Usul mencabar kesahihan pengampunan Najib itu menerima sejumlah 238 ahli yang menyokong manakala hanya seorang ahli yang menentang cadangan itu.

Presiden Majlis Peguam yang baharu dilantik pada AGM itu, Ezri Abdul Wahab, berkata semakan pengampunan itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Majoriti ahli Majlis Peguam menyokong usul yang dibentangkan hari ini dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk memfailkan semakan terhadap langkah pengampunan itu.

"Ia adalah kerana Majlis Peguam bertanggungjawab dalam menjaga kedaulatan undang-undang negara, dan ia (semakan kehakiman) juga menjadi tanggungjawab kami" katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, Majlis Peguam berkata, mereka turut bersetuju untuk membangkitkan bagaimana proses pengampunan itu berlangsung, yang dilihat dilaksanakan tanpa tindakan yang tepat.

Semalam media melaporkan bekas presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria , badan itu diminta supaya mempertimbangkan keputusan Lembaga Pengampunan dalam kes Najib.

Usul yang diterbitkan di laman web Majlis Peguam menegaskan, permohonan maaf Najib tidak sepatutnya diproses dan diputuskan kerana beliau hanya menjalani satu setengah tahun daripada hukuman penjara 12 tahunnya dan tidak membayar denda RM210 juta.

Ia juga menyatakan menyatakan Majlis Peguam menganggap Lembaga Pengampunan bertindak 'ultra vires' atau melebihi Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan untuk mengurangkan tempoh penjara Najib separuh dan mengurangkan denda kepadanya kepada RM50 juta.

Pada 2 Februari lalu, Najib dilapor diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Sementara pada AGM berkenaan, lapan lagi usul turut dibentangkan iaitu skim pembangunan profesional, Majlis Peguam sebagai badan kawal selia berkaitan penggubahan wang haram, pindaan berkaitan peraturan perjalanan AGM Majlis Peguam.

Had usia persaraan wajib hakim, pindaan undang-undang kewarganegaraan oleh kerajaan, undang-undang Draconian Law dan pembaharuan sistem keadilan negara, boikot Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pemberian bantuan menghadiri AGM/EGM.

Dalam AGM itu, Peguam Ezri Abdul Wahab dan B Anand Raj masing-masing dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden, yang akan menerajui kepimpinan Majlis Peguam, di sini hari.

Presiden baharu Ezri, sebelum ini ialah naib presiden badan itu, manakala Anand Raj yang juga setiausaha Majlis Peguam dipilih menggantikan menjadi timbalan presiden.

Jawatan setiausaha dan bendahari baharu masing-masing disandang oleh Murshidah Mustafa dan R Jayabalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 9:13 PM