Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menyifatkan gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya dirinya dipecat dari Kabinet susulan pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak, adalah suatu gesaan tidak matang.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, keputusan dibuat Lembaga Pengampunan adalah bersifat kolektif dan tidak adil sekiranya ia ditujukan kepadanya susulan perkembangan terbabit.

"Itu pandangan peribadilah...bagi saya, kitapun kenalah tengok keputusan yang diambil itu adalah keputusan dari Lembaga Pengampunan, kolektif.

"Kalau hendak tuju pada saya...pada saya gesaan tidak matang," katanya kepada pemberita, di sini malam ini.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, bekas Perdana Menteri itu turut perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan itu, MUDA menerusi kenyataan berkata, Zaliha wajar dipecat kerana gagal dalam menjalankan tugasnya.

Menurut MUDA, keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu memberi kesan mendalam menjangkau politik kepartian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. FOTO Aswadi Alias
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. FOTO Aswadi Alias

Ketika ditanya sama ada akan dikeluarkan rasional keputusan itu dibuat, Zaliha bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan mengenai perkara terbabit.

"Apa-apa berkaitan pengampunan adalah daripada pihak lembaga, (saya) tidak boleh cakap lebih dari itu," katanya.

Terdahulu, Zaliha mengadakan majlis sesi ramah mesra bersama ketua pengarang akhbar, di sini.

Yang hadir pada majlis itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada majlis Beramah-Mesra bersama Ketua-Ketua Pengarang di sebuah hotel, di ibu kota, malam ini. FOTO Aswadi Alias
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada majlis Beramah-Mesra bersama Ketua-Ketua Pengarang di sebuah hotel, di ibu kota, malam ini. FOTO Aswadi Alias

Mengenai majlis itu, Zaliha berkata, adalah penting untuk pihak kementerian memberikan maklumat tepat mengenai inisiatif pihaknya kepada media khususnya pengarang yang berfungsi sebagai 'pengawal'.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata, pihaknya akan menyampaikan amanat pertamanya buat warga Wilayah Persekutuan pada Selasa ini mengenai hala tuju sepanjang tahun 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 1:35 AM