BERNAMA

Putrajaya: Kenyataan rasmi berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka dikeluarkan minggu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

"Itu nanti kita tunggu kenyataan (Lembaga Pengampunan)… insya-Allah minggu ini kita harapkan," katanya.

Beliau yang juga antara anggota Lembaga Pengampunan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di sini, hari ini, sebagai mengulas status Najib berhubung isu berkenaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata, isu pengampunan Najib turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, namun mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan mengenainya.

Media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA) dalam laporannya mendakwa Najib diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.

NAJIB ketika hadir pada sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO fail NSTP/ Aswadi Alias
NAJIB ketika hadir pada sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO fail NSTP/ Aswadi Alias

Media itu yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan pengurangan hukuman penjara terhadap Najib atas kesalahan rasuah dibuat Lembaga Pengampunan itu dalam mesyuarat pada Isnin lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 9:33 AM