Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan berhubung permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan mengumumkan keputusan itu, sebaliknya ia bakal dibuat sendiri Lembaga Pengampunan.

"(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu.. sudah ada kepastian (keputusannya).

"Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan," katanya ringkas ketika ditemui media selepas makan tengah hari di Gerai Makan Pertama Complex di sini hari ini.

Dalam kunjungannya ke gerai berkenaan, Anwar sempat beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga, sebelum beredar untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini.

Sudah lima hari berita mengenai isu pengampunan Najib berlegar di media sosial dan dilaporkan media massa, dengan desas-desus kuat mendakwa nasib bekas Perdana Menteri itu sudah pun diputuskan Lembaga Pengampunan.

Namun sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Lembaga Pengampunan yang dikatakan sudah bermesyuarat pada Isnin lalu.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai Zhang. FOTO Bernama
ANWAR mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai Zhang. FOTO Bernama

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Kabinet pada Rabu ada dimaklumkan sepintas lalu mengenai pengampunan Najib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam memaklumkan Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022 minggu ini.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.-ends.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 3:07 PM