Alias Abd Rani

Batu Pahat: Akauntan sebuah syarikat swasta di daerah ini kerugian hampir sejuta selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di media sosial, sejak tahun lalu.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 49 tahun terlihat satu pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, pada Oktober 2023.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata, mangsa kemudian berurusan dengan empat individu berlainan menerusi WhatsApp.

"Urusan itu antara lain untuk menyertai selain tawaran bakal diberikan kepada mangsa jika berminat membuat pelaburan jual beli mata wang kripto.

"Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi dikenali 'Accerx Malaysia'.

"Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bagi tujuan pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat, sebelum mendapati memperoleh keuntungan.

"Namun, mangsa diminta membuat bayaran sebanyak satu peratus daripada keuntungan itu sekiranya mahu mendapatkan wang terbabit.

"Selepas gagal membuat bayaran seperti diarahkan, akaun pelaburan mangsa disekat. Sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada keuntungan itu.

"Mangsa berasa tertipu lalu membuat laporan polis pada 21 Januari lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 11:40 AM