Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penuntut universiti awam di sini, mendakwa kerugian RM3,132 selepas menyertai skim pelaburan mata wang kripto, sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang berusia 22 tahun pada awalnya mengetahui pelaburan berkenaan daripada rakannya yang juga penuntut sebuah universiti awam di Kelantan.

Katanya, sebagai permulaan mangsa ditawarkan pelaburan RM139 (mata wang kripto tether) dan akan menerima keuntungan berjumlah RM41.70 dalam tempoh lima hari.

"Teruja dengan pulangan lumayan, mangsa membuat pelaburan berjumlah RM3,132 dengan menjangka pulangan adalah RM6,264 dan ia dijangka diterima pada Disember ini.

"Bagaimanapun masalah timbul apabila server pengendali laman web berkenaan tidak berfungsi pada 18 Oktober lalu, manakala aplikasinya tidak dapat digunakan," katanya dalam satu kenyataan.

Chang Hook berkata, mangsa menerima perkongsian maklumat daripada pelabur lain yang turut mengalami masalah untuk melakukan transaksi pengeluaran keuntungan di aplikasi berkenaan.

Katanya, mangsa sehingga kini belum menerima sebarang keuntungan dalam pelaburan yang disertainya.

"Mangsa mendakwa pembayaran dibuat secara terus ke akaun bank sebuah syarikat yang menguruskan pembayaran keuntungan pelabur menerusi aplikasi skim berkenaan yang disambung terus ke laman sesawang sebuah bank.

"Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir, semalam dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:09 AM