GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila rugi lebih RM4.4 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang mendakwa ditipu dalam urusan pelaburan mata wang kripto dengan kerugian lebih RM4.4 juta, hari ini.

"Dia memaklumkan menerima mesej melalui WhatsApp dari nombor tidak dikenali (suspek) yang mengiklankan pelaburan mata wang kripto.

"Suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai sebagai ejen pelaburan mata wang kripto berasal dari Singapura.

"Mangsa kemudian diterangkan pelan (pelaburan) dan dipujuk untuk menyertai pelaburan selain diarahkan membuat pendaftaran di laman sesawang diberikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, pengadu dijanjikan pulangan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada nilai modal, namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan terbabit.

"Akibat terpedaya dengan tawaran itu, mangsa membuat 90 transaksi bayaran berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank diberikan bermula 18 Julai sehingga 6 September lalu.

"Bagaimanapun, pengadu gagal mengakses laman sesawang berkenaan dan gagal menghubungi suspek, semalam.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa mengesyaki ditipu kerana tidak menerima sebarang keuntungan pelaburan seperti dijanjikan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan menjanjikan keuntungan yang tinggi.

"Sila buat semakan pada nombor akaun melalui https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 10:20 PM