Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) negeri bersedia memberi sokongan terhadap penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana KJH terbukti membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada sosio-ekonomi serta pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, menerusi karnival itu yang kali ini dikenali sebagai KJH Segulai Sejalai Sarawak kerana dianjurkan bersama sepenuhnya MTCP, ramai peniaga tempatan Sarawak dapat menjana pendapatan mereka dan juga pendedahan yang amat baik dalam acara berskala besar.

"Kerajaan Sarawak melalui MTCP sentiasa memberi sokongan penganjuran program dan pelbagai aktiviti yang membabitkan setiap lapisan .

"Penganjuran karnival seperti ini memberi peluang yang begitu baik bagi kita semua untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga keluarga serta rakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan KJH Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Timbalan Setiausaha Tetap MTCP Desmond Douglas Jerukan.

Abdul Karim berkata, beliau bersyukur kerana sambutan terhadap jualan produk produk tempatan yang dipamerkan di 132 gerai di karnival itu sangat memberangsangkan.

ABDUL Karim ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan KJH Segulai Sejalai. FOTO Nadim Bokhari
ABDUL Karim ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan KJH Segulai Sejalai. FOTO Nadim Bokhari

Menurutnya, kemeriahan penganjuran semula KJH selepas 11 tahun bukan sahaja dirasai penduduk Kuching malah ramai yang datang dari luar bandar raya ini termasuk Miri, Bintulu, Sibu serta Asajaya.

"Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana acara ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan yang datang begitu ramai sekali sejak ia bermula pada hari Jumaat lalu.

"Syabas kepada semua warga kerja Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) khususnya Media Prima Omnia yang bekerja bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan penganjuran karnival kali ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Efendi berkata, KJH Segulai Sejalai Sarawak berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung meskipun keadaan cuaca kurang baik pada Sabtu dan Ahad.

Acara kemuncak KJH Segulai Sejalai Sarawak dimeriahkan dengan Konsert Jom Heboh yang menampilkan barisan penyanyi popular Baby Shima, Khai Bahar, Hael Husaini, Indah Ruhaila, Rahmad Mega dan Rem.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 10:24 PM