Mohd Roji Kawi


Kuching: Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak yang kembali menemui orang ramai di Kuching selepas 11 tahun, tidak hanya menggamit kehadiran warga bandar raya ini.

Rakyat Sarawak yang tinggal di bahagian lain termasuk dari wilayah tengah turut bersama memeriahkan program anjuran Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama sepenuhnya kerajaan Sarawak.

Penghulu Kampung Medong di Dalat, Mukah, Yasa Tambek antara rakyat Sarawak yang sanggup menempuh perjalanan jauh, semata-mata untuk merasai sendiri kemeriahan karnival yang sering menjadi buah mulut ramai ketika diadakan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, peluang itu jarang diperoleh dan beliau bersama keluarganya datang ke Kuching yang jaraknya kira-kira 700 kilometer (km) untuk merasai sendiri kemeriahan KJH Segulai Sejalai Sarawak.

"Saya datang ke sini bersama anak-anak, menantu serta cucu kerana teruja untuk merasai apa yang orang ramai perkatakan selama ini.

"Memang meriah, kita pun puas dan seronok selepas berpeluang berada di karnival ini," katanya.

Seorang lagi pengunjung dari luar Kuching, Collin Jelai dari Saratok yang berjarak kira-kira 400km pula berkata, jalan raya yang semakin lancar dengan siapnya Lebuhraya Pan Borneo memudahkan penduduk yang tinggal di bahagian lain untuk menghadiri acara berskala besar di ibu negeri.

"Acara besar seperti ini biasanya diadakan di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Miri atau Bintulu.

PENGUNJUNG yang hadir di Dataran Perayaan Petra Jaya biarpun hujan lebat di tapak Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. FOTO Asrizal Aris
PENGUNJUNG yang hadir di Dataran Perayaan Petra Jaya biarpun hujan lebat di tapak Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. FOTO Asrizal Aris

"Kami yang tinggal di bandar kecil hanya mampu mendengarnya kerana jarak yang jauh, tetapi sejak jalan raya semakin baik dan perjalanan pula lancar, saya memilih untuk memandu ke Kuching, semata-mata untuk membawa keluarga mengunjungi karnival ini," katanya.

Pengusaha kebun kelapa sawit itu berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak yang menyediakan kemudahan jalan raya yang baik dan sempurna untuk menghubungkan semua daerah seluruh Sarawak.

"Terima kasih juga kepada penganjur dari Kuala Lumpur (Kumpulan MPB) yang membawakan acara ini ke Sarawak kerana selama ini kami hanya menontonnya di televisyen ketika ia dianjurkan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 2:07 PM