Mohd Roji Kawi


Kuching: Karnival Jom Heboh (KJH) popular dan diterima masyarakat tempatan Sarawak kerana ia memberi keutamaan kepada konsep kebersamaan serta keterangkuman yang sinonim dengan negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, konsep kebersamaan itu sudah sebati dengan rakyat Sarawak sejak sekian lama.

Menurutnya, sifat kebersamaan itu dizahirkan menerusi keterangkuman dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama dan bangsa seiring dengan frasa dalam bahasa Iban 'Segulai Sejalai' yang bermaksud seiring sejalan.

"Itu yang membuatkan karnival ini istimewa sehingga kali ini ia turut dikenali sebagai 'Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak' sempena penganjurannya di Bandaraya Kuching yang mana kali terakhir ia dianjurkan disini 11 tahun yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Majlis Perasmian KJH Segulai Sejalan Sarawak yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.

Justeru, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Kumpulan MPB khususnya TV3 atas penganjuran KJH Segulai Sejalai yang mendapat sambutan hangat daripada warga Bandaraya Kuching.

Menurutnya, kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan penganjuran program dan acara yang berbentuk kemasyarakatan kerana ia membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada ekonomi serta pelancongan di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menyokong penganjuran karnival hasil kerjasama antara Media Prima Omnia dan pihak kementerian itu.

"Syabas diucapkan kepada pihak penganjur kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk setiap lapisan masyarakat termasuk golongan remaja dan keluarga.

"Inilah masanya yang baik bagi kita untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang, jiran tetangga dan rakan taulan," katanya.

Menurutnya lagi, ramai golongan muda teruja dengan acara utama di karnival iaitu konsert penyanyi tempatan dan disiarkan secara langsung melalui stesen TV3 dan beberapa artis Sarawak juga turut mewarnai konsert KJH dan juga di Konsert Jom Lokal Jam.

"Syabas juga diucapkan kepada pihak penganjur kerana karnival ini bukan sahaja membawa pengisian hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga, ia juga memberi platform untuk peniaga tempatan memperkenalkan jenama dan barangan mereka kepada pengunjung dan penonton di peringkat nasional.

"Kerajaan Sarawak menyambut baik penganjuran pelbagai aktiviti menarik dan jualan istimewa pada harga berpatutan yang terdapat di 132 gerai yang disediakan karnival ini dan ramai peniaga tempatan dari seluruh negeri Sarawak dapat mengambil bahagian sekali gus dapat menjana pendapatan mereka.

"Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi memberi peluang kepada para peniaga tempatan untuk meluaskan promosi produk mereka di karnival ini dan kerajaan Sarawak bersedia menyokong penganjuran KJH di Sarawak pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 10:17 PM