Sudirman menyirami kubur anaknya, Aiman Syafiq yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mukim Badak, Melawi, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Sudirman menyirami kubur anaknya, Aiman Syafiq yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mukim Badak, Melawi, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Meskipun dalam keadaan sarat mengandung, ibu kepada Aiman Syafiq Sudirman, 11, mengagahkan diri menghadiri majlis pengebumian anaknya malam ini.

Aiman Syafiq adalah salah seorang mangsa lemas di kem tentera di Batu Lima, Mentakab, Pahang, semalam.

Kehadiran Noraidil Azila Hashim, 35 mengundang pilu ramai apabila terpaksa dipapah bagi memberi penghormatan terakhir buat anaknya itu.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mukim Badak, Melawi jam 9.20 malam ini.

Bapa mangsa, Sudirman Mustafa, 37, berkata, isterinya sedang mengandung anak ke empat dengan usia kandungan lapan bulan.

Katanya, arwah Aiman adalah anak sulung mereka daripada tiga beradik.

"Saya anggap kandungan isteri sebagai 'pengganti'.

"Ketika kejadian, saya sedang bertugas dan kali terakhir berjumpa anak ketika menghantarnya ke kelas mengaji," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu di Kampung Badak, di sini, hari ini.

Sudirman berkata, mereka tinggal di kem berkenaan sejak 15 tahun lalu dan anaknya tidak pernah ke kawasan kolam berkenaan sebelum ini.

Katanya, bagaimana dia redha dengan kejadian yang menimpa.

Pengebumian kanak-kanak itu dihadiri 300 orang termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ahli keluarga dan penduduk kampung.

Terdahulu, media melaporkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lemas dalam kolam latihan kereta kebal, petang semalam.

Selain Aiman, dua lagi mangsa adalah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13 dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 10:51 PM