Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang bekas kerani yang hamil tiga bulan dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan jenayah pecah amanah membabitkan kerugian RM20,864 di sebuah firma guaman di daerah ini.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Zulkarma Zon, 37, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai kerani di firma berkenaan diamanahkan untuk mengendalikan dokumentasi jual beli hartanah pelanggan melakukan pecah amanah jenayah di Firma Guaman Tetuan Fariz, Halim & Co di Jalan Sultan Omar di sini antara Julai hingga Ogos 2019.

Tertuduh yang mula bekerja di firma berkenaan sejak 2007 mengutip sendiri wang pelanggan yang berurusan dengan firma tanpa kebenaran firma berkenaan berjumlah RM20,864.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

ZULKARMA dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana pecah amanah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ZULKARMA dijatuhi hukuman penjara satu tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana pecah amanah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh yang juga ibu kepada empat anak itu direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dengan hukuman berjalan bermula tarikh sabitan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 1:25 PM