Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap pada sidang media selepas  Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah 2024 di Wisma Darulaman, Kedah. FOTO WAN NABIL NASIR.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah 2024 di Wisma Darulaman, Kedah. FOTO WAN NABIL NASIR.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak bercadang mempromosikan Langkawi sebagai pulau pelancongan untuk masyarakat Islam sahaja, sebaliknya ia terbuka kepada pelancong dari seluruh dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Langkawi tidak memerlukan pendekatan seumpama itu kerana ia mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menjadi tarikan pelancong pelbagai latar belakang.

"Langkawi itu wilayah Kedah, pulau itu Kedah punya, kita namakan Langkawi Permata Kedah, jadi ikut suka Kedah nak buat pulau apa. Kita tak pernah kata nak jadikan pulau pelancongan Islam. Siapa pelancong nak datang boleh.

"Perkara ini (pulau pelancongan Islam) tidak pernah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri. Langkawi adalah 10 pulau terbaik di dunia, itu hakikatnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akbar Khan yang bercadang menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim pada sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Khairul berkata, langkah itu perlu diambil ekoran persaingan destinasi pelancongan terutama pulau dari negara jiran.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, isu Langkawi sebagai destinasi pelancongan Islam itu harus dihentikan memandangkan ia menjadi polemik yang tidak berlaku ketika kerajaan negeri berusaha memulihkan sektor berkenaan.

"Punca dia DAP, DAP kata kita tak bagi pakai seluar pendek. Menteri Pelancongan pun sama kata tak boleh pakai seluar pendek. Benda itu tak betul, mereka reka dan mereka percaya, itulah masalah mereka.

"Itu hakikat yang kena akui dan perkara ini bukan hanya tentang Kedah, ia (Langkawi) membawa sektor pelancongan berbilion kepada negara. Jadi kena jaga prestij itu, jangan had kepada orang Islam sahaja.

"Kita terbuka, siapa boleh datang. Kita sendiri hairan timbul di mana tak boleh pakai seluar pendek," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu sampah yang membelenggu Langkawi terutama di Bukit Malut, beliau berkata perkara itu akan selesai sebaik penempatan semula penduduk kawasan itu dilaksanakan.

"Bukit Malut bukan isu sampah tapi rumah. Sampah dibuang ke dalam laut. Kalau bina rumah sampai ke laut, mana ada longkang dan tong sampah di dalam laut?

"Dalam isu Bukit Malut, kita sudah bincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk buat penempatan.Kita harap cepat buat kerana ada perkembangan positif untuk ambil alih tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kita boleh bangun rumah teratur dan sah untuk mereka, jadi selesai isu sampah di Bukit Malut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 8:55 PM