MORTADZA menunjukkan wajah suspek yang terbabit dalam penipuan siber.
MORTADZA menunjukkan wajah suspek yang terbabit dalam penipuan siber.
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Sebanyak RM2.4 bilion ‘lesap’ dilarikan penjenayah licik melalui pelbagai taktik penipuan kolar putih sepanjang 2015.

Angka dan nilai kerugian mengejutkan itu dicatatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membabitkan lima penipuan utama.

Jumlah direkodkan itu turut menunjukkan peningkatan 95.10 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu kerugian RM1billion

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, 19,553 kertas siasatan dibuka sepanjang 2015 dan 14,127 kes (72 peratus) berkaitan kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Manakala 2,612 kes atau 13 peratus membabitkan kesalahan mengikut kategori Pecah Amanah Jenayah (PAJ). Kes jenayah komersial lain dicatatkan adalah salah guna harta dengan curang (84 kes), pemalsuan (148 kes) kesalahan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang (953 kes) dan kes lain (1,191 kes).

“Jika dilihat dari aspek kerugian yang dicatatkan bagi kes penipuan, nilai kerugian dialami adalah RM1,164,813,138 atau 47.8 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kerugian.

“Daripada jumlah ini, RM199,985,057 kerugian membabitkan kes ‘African Scam’ dengan 1,526 kes dicatatkan,” katanya ketika sidang media di Pejabat JSJK, di sini, semalam.

Menurut Mortadza, kerugian dicatatkan bagi kes PAJ adalah RM1,136,027,385 atau 46.6 peratus manakala selebihnya RM133,934,065 atau 5.5 peratus membabitkan jenayah siber, kes pemalsuan, ceti haram dan lain-lain kes.

“Selain kes itu, JSJK turut memberi tumpuan terhadap siasatan bagi kes jenayah siber memandangkan kemudahan siber dan Internet semakin kerap disalah guna sebagai medium untuk melakukan jenayah.

“Beberapa kejayaan juga dicapai JSJK dalam memerangi aktiviti ceti haram sepanjang tahun ini selain turut menumpaskan sindiket perniagaan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan 7,019 individu kerana disyaki terbabit dalam jenayah komersial dan 1,203 daripadanya adalah warga asing sepanjang 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:08 AM