RAMLI (tiga kanan) bersama pegawai kanan pada sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Amirudin Sahib
RAMLI (tiga kanan) bersama pegawai kanan pada sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Amirudin Sahib
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang warga emas kerugian RM3.5 juta selepas mendakwa ditipu peguam dalam urusan jual beli tanah miliknya tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa membabitkan lelaki tempatan berusia 63 tahun yang membuat laporan di Ampang, Selangor semalam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu bersetuju menjual dua bidang tanah lot miliknya pada 22 Oktober 2022 dan segala urusan dokumentasi sudah selesai namun hingga kini tidak menerima sebarang pembayaran.

"Perjanjian itu disaksikan oleh seorang peguam dari firma guaman yang dilantik untuk mewakili mangsa.

"Pada 15 Mac tahun lalu, mangsa sudah membuat selesai cap jari di Pejabat Tanah Petaling bersama peguam yang dilantik dan urusan penjualan tanah itu selesai pada hari yang sama," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Ramli berkata, pihaknya memandang serius pecah amanah membabitkan peguam kerana walaupun jumlah kes sedikit tetapi nilai kerugian setiap kes tinggi malah mencecah jutaan ringgit.

Katanya, satu mekanisme baharu perlu diperkenalkan bagi mengekang kejadian pecah amanah sebagai contoh mewajibkan dua tandatangan bagi setiap transaksi.

"Polis memandang serius isu ini dan usaha yang sewajarnya perlu diambil bagi mengekang kes-kes sebegini dari terus berlaku.

"Majlis Peguam Malaysia digesa untuk turut senada dalam hal ini dan melaksanakan peranannya demi menjaga imej dan nama baik profesion peguam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:26 PM