ZAMBRY ketika Majlis Perasmian Penutup Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi UiTM dan peluncuran Jabatan Adiwangsa universiti itu. FOTO Kementerian Pendidikan Tinggi
ZAMBRY ketika Majlis Perasmian Penutup Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi UiTM dan peluncuran Jabatan Adiwangsa universiti itu. FOTO Kementerian Pendidikan Tinggi
Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan Jabatan Adiwangsa dalam usaha memperkasakan misi asal penubuhan universiti ini sebagai sebuah institusi khusus untuk kaum Melayu dan Bumiputera, di sini, semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, UiTM perlu bergerak pantas seiring dengan pelbagai dimensi perubahan yang berlaku kini.

"Kita tidak lagi mahu dimomokkan dengan status universiti kerajaan yang mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan.

"Saya merasakan dengan kepakaran dimiliki, infrastruktur lengkap seluruh negara, UiTM perlu menggunakan kesempatan ini untuk meneroka peluang-peluang lain di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis itu, semalam.

Peluncuran Jabatan Adiwangsa membawa bersama nilai utama seperti usaha, takwa dan mulia yang disifatkan sebagai bertepatan dengan keperluan semasa, memastikan pengantaran ilmu yang relevan dan berkesan.

Jabatan ini dibentuk berasaskan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 153 serta nilai dipegang dalam Rukun Negara.

Selain itu, penghormatan terhadap Institusi Beraja juga menjadi salah satu teras utama dalam pembentukan jabatan ini sekali gus memperlihatkan komitmen UiTM untuk menjaga dan memperkukuhkan warisan budaya, agama, bangsa Melayu dan Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 8:04 PM