RAMLI pada sidang media mengenai penipuan dalam talian dan melibatkan kesalahan komersil di Ibu Pejabat JSJK. FOTO Rohanis Shukri
RAMLI pada sidang media mengenai penipuan dalam talian dan melibatkan kesalahan komersil di Ibu Pejabat JSJK. FOTO Rohanis Shukri
Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: National Scam Response Centre (NSRC) dilaporkan menerima purata aduan sebanyak 36 kes penipuan setiap hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka berkenaan adalah berdasarkan 15,133 panggilan yang diterima setakat 30 November 2023 membabitkan kes penipuan yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam.

"Sejak penubuhannya, jumlah kerugian keseluruhan dicatatkan membabitkan kes NSRC adalah RM173.3 juta dan yang berjaya disekat adalah sebanyak RM33 juta bersamaan dengan 19% dari nilai keseluruhan kerugian.

"Selain itu, sejak Januari 2023 hingga kini, JSJK turut menerima 23 laporan polis berkenaan kes penyamaran sebagai pegawai dari NSRC membabitkan nilai kerugian RM720,495.20.

"Dalam kes ini, mangsa akan menerima panggilan dari individu yang mendakwa pegawai dari NSRC dan memaklumkan akan membatalkan kerana terdapat aduan nombor mangsa hantar pautan haram serta mesej penipuan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang tertipu akan diarahkan mengikuti segala arahan yang diberikan sehingga mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.

"Oleh itu, adalah diingatkan, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan dari orang ramai.

"la adalah berbentuk komunikasi satu hala sahaja dan NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, sebarang panggilan yang mengaku dari pihak NSRC adalah satu penipuan.

"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, kami menggesa mangsa-mangsa yang terbabit untuk segera menghubungi NSRC di talian 997.

"Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam supaya peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 9:59 AM