Jenazah Syukur Low selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang. FOTO Ihsan Penduduk
Jenazah Syukur Low selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang. FOTO Ihsan Penduduk
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: "Saya berasa lega kerana akhirnya jenazah Syukur Low dapat dituntut daripada Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) petang tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang sebelum waktu solat Maghrib tadi," kata Mohd Izham Mohd Hisham, 30.

Mohd Izham berkata, dia bersyukur apabila dapat mengiringi perjalanan terakhir jenazah berkenaan.

Menurutnya, dia amat terharu apabila Allah memberi peluang kepadanya untuk bersama-sama membantu pengurusan jenazah Syukur termasuk memandikan jenazah.

"Tuntutan jenazah dilakukan di Jabatan Forensik pada 4.20 petang.

"Saya dapat memandikan jenazah, Alhamdulillah semuanya sempurna walaupun hari ini memasuki hari ke-52.

"Selepas solat memandikan jenazah, arwah dikafan sebelum ke masjid dan dibawa tanah perkuburan.

"Perjalanan jenazah amat lancar walaupun cuaca agak mendung ketika itu dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dan saya yakin roh arwah kini lebih tenang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, pengebumian lelaki mualaf itu dihadiri kira-kira 30 individu pada jam kira-kira 7 petang.

"Selepas pengurus jenazah Masjid An Nur membawa jenazah ke Masjid An Nur Taman Cendana, jenazah disembahyangkan sebelum ke tanah perkuburan.

"Alhamdulillah walaupun ketika itu waktu lepas kerja, ramai yang datang membantu.

"Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak tertentu yang membawa perkara ini ke arah kebaikan.

"Malah kami juga ingin berterima kasih kepada Jabatan Forensik HSI, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta pihak yang mempermudah urusan terakhir arwah Syukur," katanya.

Shamsul Bahrin berkata, dia juga menghargai doa serta harapan orang ramai supaya jenazah arwah diurus dengan secepat mungkin.

"Perkara ini bukan saja soal keagamaan malah soal kemanusiaan, Alhamdulillah semua lancar dan selesai," katanya.

Pada hari ini, akhbar ini melaporkan jenazah Syukur Low masih gagal dituntut walaupun sudah memasuki hari ke-52.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 9:14 PM