Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Cameron Highlands: Mangsa kedua kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, di sini, ditemukan pada 12.05 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, mangsa lelaki itu dijumpai tertimbus pada kedalaman dua meter dan terletak kira-kira 10 meter daripada tapak asal rumah kongsi bagi pekerja di kawasan kebun sayur di situ.

Azri berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berdepan cabaran memandangkan terdapat beberapa lagi runtuhan tanah di sepanjang jalan kecil yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati jalan untuk ke tempat kejadian terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi kejadian, tetapi (sekarang) naik menaiki 4x4 pun tak boleh lalu sebab ada beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di di dalam perjalanan untuk ke tempat kejadian," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut manakala empat lagi dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Batu 54, kira-kira jam 2.51 pagi tadi, dengan kesemua lima mangsa itu dikenal pasti adalah warga Myanmar.

Mangsa pertama yang ditemui dikenali sebagai Haphey, 36, yang ditemui maut tertimbus jam 3 pagi.

Runtuhan di kawasan kebun sayur itu membabitkan ketinggian 80 meter dari kaki bukit dengan tapak lokasi rumah pekerja yang tertimbus berada pada kedudukan 40 meter dari kaki bukit.

Anggaran kecerunan bukit runtuhan adalah antara 35 hingga 40 darjah.

ANGGOTA penyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kg. Raja, Cameron Highlands. FOTO L Manimaran
ANGGOTA penyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kg. Raja, Cameron Highlands. FOTO L Manimaran

Azri berkata, pasukan operasi menyelamat juga sukar membawa jentera berat untuk ke lokasi terbabit, selain faktor cuaca hujan berisiko mengundang risiko runtuhan susulan.

"Walaupun cuaca hujan dan takut akan tanah runtuh lagi, namun operasi sehingga kini tetap diteruskan dalam keadaan pasukan yang sentiasa mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga sekiranya berlaku pagi runtuhan kali kedua (susulan)," katanya.

Sementara itu Ismail berkata, sektor pencarian mangsa dibahagikan kepada empat sektor membabitkan keluasan sepanjang 50 meter, dengan tumpuan mencari mangsa diberikan terhadap sektor B dan sektor C di kawasan sepanjang kira-kira 25 meter yang berada di sektor zon tengah.

"Terdapat dua rumah pekerja yang terbabit dalam runtuhan itu, yang mana mangsa pertama dijumpai di sektor C manakala mangsa kedua dijumpai di sektor B, yang mana berdasarkan skala itu fokus pencariannya lebih kepada sektor B dan C," katanya.

Operasi pencarian dilakukan dengan kekuatan seramai 120 orang terdiri dari pelbagai agensi dan juga termasuk kira-kira 20 rakan mangsa yang turut bekerja di kebun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:16 PM