PASUKAN Smart mendengar taklimat daripada pegawai bomba berkaitan kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kg. Raja yang membabitkan lima mangsa. FOTO L Manimaran
PASUKAN Smart mendengar taklimat daripada pegawai bomba berkaitan kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kg. Raja yang membabitkan lima mangsa. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Tiga daripada lima mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur di Batu 59, Blue Valley, di sini, semalam mempunyai pertalian kekeluargaan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, mereka adalah suami isteri serta bapa kepada suami, dengan mayat yang sudah dijumpai setakat ini adalah si suami.

Menurutnya, turut ditemukan di lokasi kejadian adalah kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dimiliki empat daripada lima mangsa.

Azri berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang belum dijumpai diteruskan sehingga jam 10 malam ini bergantung cuaca, memandangkan keadaan semasa cuaca beransur baik.

"Bagaimanapun, operasi SAR dijangka sukar berikutan jentera berat termasuk membawa peralatan diperlukan masih tidak boleh sampai di lokasi runtuhan susulan keadaan tanah di laluan menuju lokasi yang sempit, lembik, serta curam.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memaklumkan keadaan tanah tidak sesuai untuk jentera berat masuk," katanya pada media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani.

Ismail berkata, berikutan tiada jentera boleh masuk ke lokasi, operasi SAR terpaksa dilakukan secara manual termasuk menggunakan cangkul, dan penyodok.

"Masalahnya adalah tanah yang menggelungsur membawa bersama pokok dan itulah yang menjadi sedikit kesukaran bagi pasukan penyelamat untuk mengenal pasti kedudukan mangsa.

"Pasukan K9 (Unit Anjing Pengesan) kita ada mengesan beberapa (titik) lokasi dan kerja untuk mengorek kawasan terbabit sedang dijalankan.

"Tumpuan pencarian kita masih lagi sebelumnya iaitu di sektor B dan sektor C iaitu sektor di mana mayat dua mangsa sudah ditemui," katanya.

Ditanya sama ada kebun sayur tempat tinggal dan bekerja diusahakan secara sah atau tidak, Azri berkata, beliau tidak boleh memberi komen lanjut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

"Masih dalam siasatan (sama ada kebun diusahakan secara sah), namun apa yang saya tahu semua mangsa adalah pemegang kad UNHCR.

"Soalan itu kita serahkan kepada PDT (untuk jawapan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 7:35 PM