Dua lagi mangsa ditemukan petang ini ketika operasi SAR di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Dua lagi mangsa ditemukan petang ini ketika operasi SAR di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Dua lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands sudah ditemukan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dan wanita, Om Myu, 37.

Mereka ditemukan pada jam 6.10 petang dan 6.50 petang tadi dengan jarak antara kedua-duanya sejauh lima meter.

Dengan penemuan dua mayat itu mencukupkan jumlah lima mangsa yang tertimbus.

Berikutan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diumumkan tamat oleh Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli dalam sidang media sebentar tadi.

Hadir sama adalah Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.

Azri berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui masing-masing di lokasi pencarian zon D dan zon C dengan jarak kira-kira 30 meter daripada lokasi penemuan mangsa sebelum ini.

Katanya, mayat kesemua mangsa yang juga warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini untuk proses bedah siasat dan pengesahan identiti.

Terdahulu, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas rumah dihuni mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.40 pagi semalam.

Identiti dua mayat yang dijumpai dalam operasi SAR semalam masing-masing dikenal pasti sebagai Law Ha Phey, 36 dan Ki Shing Om, 48, dengan masing-masing mayat mereka ditemukan jam 5.40 pagi dan 12.05 tengah hari semalam (Jumaat).

Manakala, mangsa ketiga yang ditemukan kira-kira 12.15 tengah hari tadi merupakan lelaki, Thang Moung, 25.

Azri berkata, identiti semua mangsa akan disahkan oleh Jabatan Forensik.

Menurutnya, identiti mereka sudah dimakumkan ke kedutaan Myanmar di Malaysia untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 8:28 PM