GAMBAR fail, kumpulan pegawai perubatan kontrak yang menyertai hartal doktor di ibu kota pada 26 Julai 2021. FOTO NSTP
GAMBAR fail, kumpulan pegawai perubatan kontrak yang menyertai hartal doktor di ibu kota pada 26 Julai 2021. FOTO NSTP
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menjelaskan secara terperinci mengenai pelaksanaan sistem kontrak baharu membabitkan penjawat awam khususnya kepada golongan doktor kontrak di negara ini.

Gesaan itu disuarakan Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang membangkitkan beberapa persoalan susulan pelaksanaan sistem kontrak baharu itu, berkuat kuasa 1 Februari ini, khususnya dalam aspek kenaikan tangga gaji dan tempoh kontrak.

Menurut HDK, sistem kontrak baharu itu yang diumumkan Selasa lalu, hanya tinggal seminggu lagi untuk dilaksanakan, namun sehingga kini masih tiada perincian diberikan kepada mereka yang bakal terbabit dalam skim berkenaan.

"Pengumuman sudah dibuat tetapi perancangan masih belum diketahui.

Jika setelah ini tiada penjawatan tetap, bagaimana sistem kontrak ini dilaksanakan?

"Selama ini, jumlah kontrak adalah tujuh tahun (3+2+2) sebelum pegawai ditamatkan perkhidmatan, adakah jumlah ini masih kekal?

"Jika selama ini pegawai kontrak dilanjutkan kontrak selama empat tahun untuk kepakaran, bagaimana selepas ini?

"Dengan tiada penjawatan tetap selepas ini, bagaimana pula dengan kenaikan tangga gaji? Adakah akan terhenti di tangga UD43 seperti sekarang?

"Jika tiada penjawatan tetap, adakah pegawai perubatan yang tamat pengajian kepakaran juga berstatus kontrak?" katanya melalui aplikasi X, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Pada masa sama, menurut HDK, mereka tiada masalah dengan sistem kontrak baharu itu kerana percaya ia dilakukan untuk memperkasakan sistem saraan perkhidmatan awam pada masa depan.

Namun katanya, kerajaan perlu memperincikan pelaksanaannya supaya golongan penjawat awam khususnya doktor yang bakal terbabit dalam sistem itu lebih jelas mengenai kedudukan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 7:06 PM