DR Zaliha Mustafa
DR Zaliha Mustafa
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan sistem saraan baharu yang akan diperkenal kelak tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, sistem itu juga akan dipastikan mempunyai elemen yang dapat menarik bakat terbaik negara supaya berminat untuk masuk dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

"Keperluan pindaan kepada semua peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi tujuan kaedah baharu lantikan tetap penjawat awam turut diperhalusi sewajarnya.

"Kaedah pelantikan yang sedang dirangka akan dipastikan tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu," katanya melalui jawapan bertulis menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat.

Azahari meminta kerajaan menyatakan apakah faktor utama pemansuhan skim pencen kepada kakitangan kerajaan lantikan baharu dan adakah dengan pemansuhan skim pencen akan mengakibatkan pengurangan permohonan pekerjaan di dalam sektor kerajaan sekali gus memberi kesan kepada bidang kritikal.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, tanggungan pencen memberi implikasi kewangan semakin besar kepada kerajaan setiap tahun, lantas keputusan diambil untuk mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu yang sedang dirangka.

"Pada 2023, jumlah perbelanjaan pencen adalah RM32.01 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030.

"Secara purata, unjuran kenaikan jumlah bayaran pencen adalah hampir RM2 bilion setahun dan akan semakin meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu sudah menerima Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Laporan itu diserahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 12:26 PM