DR Muhamad Akmal, gambar fail. FOTO Bernama
DR Muhamad Akmal, gambar fail. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemuda Umno menggesa cadangan pemansuhan pencen membabitkan wakil rakyat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kepada penjawat awam.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pihak memahami tekanan kewangan yang ditanggung kerajaan ketika ini.

"Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka, tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga mati.

"Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat," katanya hari ini.

Muhammad Akmal berkata, pihaknya percaya atas prinsip kepimpinan melalui teladan.

"Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan atau pembangkang," katanya.

Terdahulu media melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:49 PM