GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Ali


Kuala Lumpur : Hartal Doktor Kontrak (HDK) beri amaran masalah kekosongan jawatan di klinik dan hospital kerajaan bakal mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.

Masalah ini akan semakin meruncing jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah penjawatan petugas perubatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, HDK berkata walaupun kerajaan sudah mengumumkan perjawatan tetap untuk hampir 4,000 doktor kontrak, secara tidak langsung perkara itu menimbulkan krisis terbaru dalam permasalahan penjagaan kesihatan yang sedia kritikal.

Pertubuhan itu menyifatkan jawatan tetap yang ditawarkan adalah suatu langkah terpuji bagi menyelesaikan masalah ketidakpastian perjawatan, Namun, katanya apabila doktor yang terbabit berpindah dan melakukan transisi ke tempat yang baharu, masalah kekosongan berskala besar akan berlaku di jabatan, hospital dan klinik yang mereka pernah berkhidmat sebelum ini.

"Unjuran kekurangan kakitangan perubatan sepanjang tempoh transisi ini sekali gus akan menyebabkan peningkatan ketara kepada tempoh menunggu di jabatan kecemasan dan klinik kesihatan," katanya.

HDK menambah keadaan ini bakal menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas secara drastik.

"Amaran yang diberikan ini bukanlah situasi dan senario abstrak yang direkacipta, tetapi krisis yang bakal mengancam setiap rakyat yang bergantung sepenuhnya pada sistem penjagaan kesihatan awam kita.

"Krisis ini tidak seharusnya dipandang ringan; kekurangan bilangan doktor juga bakal menambah beban kepada tertangguhnya diagnosis, penderitaan berpanjangan dan jumlah peningkatan yang tidak perlu dalam kes kematian yang boleh dielakkan," katanya.

HDK juga memberi jaminan akan sentiasa bersama semua petugas profesional penjagaan kesihatan yang bakal terbeban dengan krisis ini untuk menyokong serta mempertahankan hak dan kebajikan mereka.

"HDK mengiktiraf dan sangat menghargai komitmen altruistik yang diberikan kepada masyarakat selama ini.

"Sebagai tindak balas kepada situasi kritikal ini, kami di pihak HDK mencadangkan agar Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diwujudkan dengan kadar yang segera untuk menangani masalah pengurusan sumber manusia, pengagihan kakitangan, pelaksanaan latihan dan kemajuan kerjaya profesional penjagaan kesihatan yang lebih tertumpu dan spesifik," katanya.

Pertubuhan itu mendakwa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak sesuai menguruskan petugas kesihatan profesional kerana jabatan itu kurang memahami tuntutan dan cabaran unik yang dihadapi oleh petugas kesihatan di dalam sektor penjagaan kesihatan ini.

"Melihat kepada pucuk pimpinan semasa di bawah kendalian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguasai majoriti dua pertiga di parlimen, kini adalah waktu dan peluang yang sesuai untuk mewujudkan Suruhanjaya yang disebutkan," katanya.

HDK turut menggesa kerajaan dan ahli-ahli Parlimen lain, tanpa mengira gabungan parti untuk menyokong inisiatif ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 10:33 PM