Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu perincian mengenai pelaksanaan sistem kontrak baharu membabitkan penjawat awam khususnya golongan doktor kontrak di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM mengakui kegusaran masyarakat awam termasuk Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mengenai pelaksanaan sistem baharu itu, memandangkan tarikh penguatkuasaannya sepatutnya bermula 1 Februari lalu.

Buat masa ini, katanya, semua pihak diminta bersabar sementara pelaksanaan sistem itu diperincikan.

"Kita tunggu perincian, kerana Perdana Menteri sudah sebutkan dalam proses (memperincikan). Harap bersabar, untuk kita faham apakah yang dimaksudkan dalam kontrak bermula 1 Februari itu. Kita tunggu apa tindakan lanjut," katanya selepas menyempurnakan perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di sini, hari ini.

DR Dzulkefly ketika sidang media selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DR Dzulkefly ketika sidang media selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari, menyatakan kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam pekeliling itu berkata, susulan langkah itu, Jemaah Menteri sudah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah itu, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini.

Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata, pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.

Sementara itu, ditanya mengenai isu elaun tugas atas panggilan (on-call) untuk doktor, Dr Dzulkefly berkata, perkara berkenaan akan diuar-uarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

"Itu (isu elaun tugas on-call) pun sudah kita bincangkan dalam mesyuarat post-cab. Kita ada satu kaedah untuk melihat semula perkara itu, tentang active call (panggilan aktif), passive call (panggilan pasif).

"Saya kira perkara itu saya sudah lihat penyelesaiannya. Waktu terdekat sama ada Ketua Pengarah Kesihatan atau Timbalannya akan menerbitkan siaran media mengenai elaun on call itu," katanya.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada sesi town hall bersama bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada Februari tahun lalu, mencadangkan peningkatan 178 peratus dalam tuntutan elaun tugas atas panggilan untuk doktor pada hujung minggu.

Cadangan itu bertujuan menaikkan kadar kepada RM25 sejam daripada kadar semasa RM9.16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 4:11 PM