HAZRIL (kiri) ketika operasi menyerbu tiga kilang secara serentak di lokasi berasingan sekitar Kapar, Klang. FOTO Faiz Anuar
HAZRIL (kiri) ketika operasi menyerbu tiga kilang secara serentak di lokasi berasingan sekitar Kapar, Klang. FOTO Faiz Anuar
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: Sembunyi dalam semak bagi mengelak dikesan polis selepas kilang haram mereka di Kapar, di sini digempur polis, semalam.

Namun tindakan pendatang asing tanpa izin (Pati) itu hanya sia-sia selepas berjaya dikesan dron.

Ketika serbuan yang bermula 2.30 petang itu, puluhan warga asing didapati sedang bekerja di kilang kitar semula yang dipercayai beroperasi secara haram.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada daripada mereka bertindak melarikan diri namun berjaya dikesan dron dan dicekup.

Perkara itu dikesan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menyerbu tiga kilang secara serentak di lokasi berasingan sekitar Kapar.

Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Asisten Komisioner Hazril Kamis berkata, Op Khas Aman 1 itu membawa kepada penahanan seramai 116 individu berusia 20 hingga 72 tahun bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua Pati termasuk tujuh wanita yang ditahan membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, China, Taiwan India.

"Tangkapan itu turut meliputi tujuh lelaki termasuk tiga warga tempatan yang dipercayai majikan warga asing berkenaan.

"Selain itu, lima lelaki iaitu empat warga Myanmar dan seorang Bangladesh yang dipercayai menjadi buruh paksa turut diselamatkan," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu.

Hazril berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan lanjut turut dijalankan polis mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007.

"Semua tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati tiga premis terdiri daripada kilang papan dan kitar semula sisa elektronik dikawal beberapa anjing.

Malah semua premis lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 11:58 AM