ANTARA Pati yang ditahan dalam serbuan Op Pintas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA Pati yang ditahan dalam serbuan Op Pintas. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Langat: Tiga remaja 17 tahun menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan menerusi dua serbuan Op Pintas ke atas dua premis kilang berasingan di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi dijalankan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0).

Katanya, dalam serbuan pertama pihaknya menyelamatkan dua remaja dari Myanmar berusia 17 tahun dalam serbuan ke atas sebuah kilang kitar semula peralatan elektronik yang beroperasi tanpa lesen di sekitar Telok Panglima Garang, di sini.

"Ketika serbuan semua pekerja sedang melakukan kerja peleraian bahan elektronik di bahagian dalam dan luar premis.

"Temu bual awal dijalankan dengan menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar serta (perlu) bekerja dari 8 pagi hingga 9 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa menerima gaji sekitar RM1,200 hingga RM1,300 sebulan dan perlu bekerja selama 13 jam untuk enam hari seminggu.

Katanya, mangsa terpaksa tinggal dalam suasana yang tidak kondusif malah pergerakan mereka sentiasa dipantau oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan tidak dibenarkan keluar dari premis.

"Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai penyelia kilang yang menguruskan segala urusan pekerja turut ditahan.

"Pasukan serbuan turut menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada dua wanita Myanmar dan 12 lelaki Bangladesh," katanya.

Dalam serbuan kedua, pasukan D3 menyelamatkan seorang remaja 17 tahun dan menahan seorang pengurus bersama 78 pekerja Pati di sebuah kilang memproses barang elektronik terpakai di Jalan Pulau Carey, di sini.

Katanya, Pati berkenaan terdiri daripada lelaki Myanmar seramai 35 orang, wanita Myanmar (40), lelaki Kemboja (satu), dan wanita Kemboja (dua).

"Hasil soal siasat awal mendapati premis ini dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu berdasarkan soal.

"Premis berkenaan beroperasi 24 jam dengan dibahagikan kepada dua shif iaitu 7 pagi hingga 6.30 petang dan 7 malam hingga 7 pagi," katanya.

Soffian berkata, kesemua tangkapan berusia 18 hingga 63 tahun dan tiga mangsa berkenaan bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 9:14 PM