PEGAWAI Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memeriksa dokumen pekerja asing ketika pemeriksaan kilang sekitar Kapar, Klang. FOTO Faiz Anuar
PEGAWAI Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memeriksa dokumen pekerja asing ketika pemeriksaan kilang sekitar Kapar, Klang. FOTO Faiz Anuar
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Klang: "Saya hanya tumpang tidur selepas jumpa kawan di sini." Alasan itu diberikan lelaki warga Bangladesh ketika ditahan dalam serbuan Op Khas Aman di kilang kitar semula di kawasan perindustrian sekitar Kapar, di sini semalam.

Bagaimanapun, helah pendatang asing tanpa izin (Pati) itu terbongkar apabila pasukan serbuan menemui namanya sebagai salah seorang pekerja pada mesin perakam masa di premis terbabit.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati Pati terbabit sedang nyenyak tidur di atas katil besi yang hanya beralaskan papan ketika serbuan dijalankan.

Dua kilang yang terletak bersebelahan di kawasan perindustrian itu dijadikan pusat mengitar semula barangan plastik dan alat elektronik, dipercayai menggunakan khidmat buruh dalam kalangan Pati.

Buruh asing berkenaan disediakan tempat tinggal yang dalam keadaan tidak teratur, kotor, dan ruangan itu berbau busuk.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran-Atipsom ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan itu menahan 65 warga asing dan seorang tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Katanya, tiga kilang kitar semula barangan plastik dan elektronik diserbu dalam operasi 2.30 petang yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Seramai 60 daripada tangkapan pekerja asing yang terdiri daripada 31 warga Myanmar, Bangladesh (14), Kemboja (12) dan tiga India.

"Enam lagi tahanan adalah warga tempatan dan lima warga China disyaki berperanan mengurus dan menggajikan pekerja terbabit," katanya.

Soffian berkata, warga tempatan dan lima lelaki China akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala siasatan lain mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 9:06 AM