(Kiri) Makanan haiwan diproses untuk dijadikan tepung. (Kanan) Orang ramai mendapatkan tepung dari trak bantuan. FOTO Yousef Al-Helou
(Kiri) Makanan haiwan diproses untuk dijadikan tepung. (Kanan) Orang ramai mendapatkan tepung dari trak bantuan. FOTO Yousef Al-Helou
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sampai terpaksa mengisar makanan haiwan untuk dijadikan tepung bagi membuat roti.

Begitu terdesaknya penduduk Gaza, Palestin yang kini dilanda krisis kebuluran teruk selepas dikenakan sekatan dalam perang yang memasuki hampir empat bulan.

Dalam beberapa perkongsian tular yang dirakam dari sebuah tempat di wilayah terkepung itu, kelihatan penduduk Gaza mengendalikan jentera pengisar bagi memproses makanan haiwan untuk dijadikan tepung.

Ahmed Kouta memaklumkan, bahan diproses itu membabitkan makanan lembu, kuda dan biri-biri.

"Apabila kamu tak pernah rasa apa yang dimaksudkan dengan kelaparan, kamu tak akan faham.

"Makanan haiwan macam lembu, kuda dan biri-biri dikisar untuk dijadikan tepung! Saya cakap tepung, bukan benda lain. Beras pun sudah kehabisan stok.

"Tolonglah bertindaklah, kami nak beritahu kamu kami mati kebuluran," katanya menerusi Instagram semalam.

Perkara sama turut dikongsikan wartawan Gaza, Yousef Al-Helou berkata, penduduk Gaza terpaksa mengisar makanan haiwan dan bijirin burung untuk dijadikan tepung.

"Rakyat Gaza terpaksa kisar makanan haiwan memandangkan kekurangan gandum akibat pengepungan Israel dan pembunuhan beramai-ramai kejam yang berterusan.

"Penduduk Gaza kelaparan kerana hampir empat bulan Israel menyekat kemasukan barangan dan bantuan kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, Nooh Al-Shaghnobi pula berkongsi rakaman video menunjukkan keadaan di tepi pantai penuh sesak dan riuh rendah dengan orang ramai yang terdesak mendapatkan tepung dari trak bantuan yang tiba.

Dalam rakaman itu, turut terdengar bunyi tembakan dipercayai dilepaskan tentera penceroboh Israel ke arah penduduk yang kebuluran itu.

"Tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang cuba mendapatkan makanan.

"Penduduk di sini tidak mempedulikan nyawa mereka lagi kerana hanya mahu mendapatkan tepung untuk keluarga mereka.

"Keadaan ini sungguh memeritkan dan tidak dapat digambarkan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean dalam satu kenyataan memberitahu, krisis kebuluran penduduk Gaza mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan itu katanya, memberikan ancaman besar kepada penyebaran penyakit akibat tiada sekuriti makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 10:56 AM