Kanak-kanak di utara Gaza menderita kebuluran. FOTO Instagram Mahmoud Sabbah
Kanak-kanak di utara Gaza menderita kebuluran. FOTO Instagram Mahmoud Sabbah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Ini mesej kami kepada dunia, tak malu ke? Berani kamu beri anak kamu makanan sedangkan kami makan makanan haiwan. Kamu nak tengok kami mati ke?" tanya seorang kanak-kanak di utara Gaza, Palestin.

Kanak-kanak perempuan itu lantang menyuarakan kekesalan anak-anak Gaza selepas dunia gagal membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam serangan Israel yang memasuki bulan kelima.

"Saya bercakap mewakili ribuan kanak-kanak yang kebuluran di Gaza. Sudah 135 hari kami tidak ada makanan, air mahupun ubat.

"Mesej kami kepada pemimpin dunia, kami tak minta kamu berperang dengan Israel, tetapi kami cuma minta makanan," katanya.

Kanak-kanak itu menyampaikan mesej itu menerusi rakaman video Mahmoud Sabbah sebelum ia dimuat naik di Instagram, malam tadi.

Dalam perkongsian berasingan, seorang kanak-kanak lain dikenali sebagai Sally turut berkongsi keperitan mereka apabila terpaksa makan makanan haiwan dan tumbuhan hutan.

"Saya tak malu cakap saya nak makanan sebab saya sudah lama lapar. Saya cuma minum air dan makan tumbuhan 'Hommed'.

"Saya tak boleh makan roti, pahit sebab ia diperbuat daripada makanan haiwan," katanya menerusi rakaman video dimuat naik Mohamed Shahin.

Malam tadi, Save the Children dalam satu kenyataan memberi amaran, sekurang-kurangnya sejuta nyawa kanak-kanak di Gaza berisiko akibat peperangan, kebuluran dan penyakit serta tekanan mental yang teruk akibat konflik perang berbulan-bulan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal menerima pakai draf resolusi Algeria yang menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto mereka.

Sejak 7 Oktober lalu, Israel bukan hanya membedil Gaza, malah menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan hingga menyaksikan banyak kematian terutama bayi dan kanak-kanak akibat kebuluran.

Malah, beberapa perkongsian tular juga menunjukkan tentera Zionis bertindak zalim dengan menembak orang awam ketika mereka bergelut mendapatkan bantuan makanan yang terhad di luar.

Dilaporkan, banyak bantuan kemanusiaan dihalang masuk ke Gaza termasuk 1,050 kontena makanan dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:13 PM