FOTO diambil dari selatan Israel menunjukkan kemusnahan di Gaza. FOTO AFP
FOTO diambil dari selatan Israel menunjukkan kemusnahan di Gaza. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memaklumkan, sekatan keras Israel terhadap bantuan ke Gaza dan operasi ketenteraan di wilayah itu, boleh dianggap tindakan menggunakan kebuluran sebagai 'senjata', akan menjadi jenayah perang.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk mengecam kelaparan yang berleluasa dan kebuluran yang semakin teruk di Gaza.

Dalam satu kenyataan yang diselar oleh Israel, Turk berkata, bahawa kebuluran berpunca daripada sekatan meluas Israel terhadap kemasukan dan pengedaran bantuan kemanusiaan dan barangan komersial.

"Ia juga dikaitkan dengan perpindahan sebahagian besar penduduk dan kemusnahan infrastruktur awam yang penting", katanya.

Sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza, bersama-sama dengan cara ia terus melakukan permusuhan, mungkin menyamai penggunaan kelaparan sebagai kaedah peperangan, yang juga jenayah perang

Jurucakapnya, Jeremy Laurence, memberitahu pemberita di sini bahawa penentuan terakhir sama ada kebuluran digunakan sebagai senjata perang akan ditentukan oleh mahkamah.

Kenyataan itu dibuat selepas penilaian keselamatan makanan yang disokong PBB menentukan bahawa wilayah Palestin yang dilanda perang sedang menghadapi kebuluran.

Perang yang dahsyat sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel menyebabkan kira-kira separuh daripada penduduk Gaza, dianggarkan berjumlah 1.1 juta orang, kelaparan.

Tanpa bantuan, kebuluran akan menghimpit 300,000 penduduk di utara Gaza yang dilanda perang. menjelang Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 2:28 PM