RATUSAN ribu penduduk di utara Gaza berebut mendapatkan bantuan kemanusiaan yang terhad. FOTO Karamnaji1
RATUSAN ribu penduduk di utara Gaza berebut mendapatkan bantuan kemanusiaan yang terhad. FOTO Karamnaji1
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penduduk di Semenanjung Gaza, Palestin terpaksa mengikat perut dengan batu bagi menghilangkan rasa lapar.

Situasi menyedihkan itu digambarkan seorang lelaki di utara Gaza yang memaklumkan, kaedah mengikat perut dengan batu itu jalan terakhir mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Cuma ini penyelesaian yang ada. Kami akan ambil batu dan ikat di perut terutama apabila kami tidak dapat tidur pada waktu malam akibat kelaparan.

"Bagi orang yang berbadan besar, mereka akan ikat dua batu," katanya menerusi satu rakaman video.

Video itu dimuat naik rakannya yang juga jurugambar, Wissam Nassar, Jumaat lalu sebelum ia tular.

Menurut lelaki itu lagi, penduduk Gaza terdesak meneruskan kelangsungan hidup dalam perang yang memasuki bulan kelima, namun lebih satu bilion umat Islam di dunia hanya menyaksikan penderitaan mereka.

"Tuhan…bukan kami merungut terhadap-Mu, tetapi kami mengadu kepada kepada-Mu mengenai Arab dan umat Islam yang tidak berguna.

"Lebih satu bilion umat Islam tak dapat bawakan tepung ke utara Gaza sedangkan anak-anak kami mati kelaparan dan kehausan," katanya.

Wissam pula melahirkan kekesalannya apabila bantuan kemanusiaan sangat sedikit berbanding keperluan sebenar di lapangan.

"Ratusan ribu orang menunggu untuk dapatkan bantuan kemanusiaan dan tepung tetapi hanya empat trak saja yang berjaya masuk ke utara Gaza," katanya berkongsi video orang ramai berebut mendapatkan tepung dari lori.

Sementara itu, pengguna akaun Instagram bernama Mohsin A berkata, dua sepupunya terbunuh ketika mendapatkan bantuan.

"Mereka risikokan nyawa untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memberi makan keluarga mereka.

"Dua sepupu saya di utara mati ketika cuba mendapatkan tepung dan makanan. Ini sangat tidak berperikemanusiaan!" katanya.

Keadaan teruk di utara turut dikongsikan pengamal media termasuk Anas Al-Sharif dan Hossam Shabat yang membuat liputan di utara Gaza sejak konflik perang itu meletus.

Menurut Anas, bukan hanya menjadi saksi penderitaan orang ramai dan keluarganya, dirinya sendiri bergelut meneruskan kelangsungan dalam keadaan kelaparan.

"Saya berdiri di hadapan kamera untuk menyampaikan penderitaan orang Gaza.

"Saya bercakap tentang kelaparan yang kami hadapi sekarang sambil mengawal badan dan saya berhenti bercakap untuk seketika sebelum meneruskan... Inilah keadaan kami dan semua orang.

"Kami kehabisan semuanya. Di sini di utara Gaza tiada tempat berteduh, makanan, minuman dan rawatan.

"Kami melihat keluarga dan anak-anak mati kelaparan," katanya di platform X, semalam.

Hossam pula berkata, kebanyakan penduduk di utara kini semakin tidak bermaya dan berdepan kematian kerana kekurangan zat dan makanan.

"Ratusan bayi mati kerana kekurangan susu dan kebanyakan mereka berada di hospital kerana kekurangan zat makanan," katanya di Instagram.

Sejak perang meletus, Israel bukan hanya membedil Gaza, malah menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan di wilayah itu sehingga menzalimi penduduk yang terpaksa meneruskan kelangsungan hidup dengan apa saja cara termasuk mengisar makanan haiwan, pasir dan tanaman liar.

Terbaru Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich dalam satu kenyataan Selasa lalu mengesahkan, beliau mengeluarkan arahan sekatan bantuan kemanusiaan itu kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) selepas beberapa kakitangannya didakwa terbabit dalam serangan Hamas ke atas Israel, 7 Oktober lalu.

Jumaat lalu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini dilaporkan berkata, kira-kira 1,050 kontena mengandungi makanan termasuk sebahagian besar daripadanya tepung ditahan di pelabuhan Ashdod, Israel.

Katanya, jumlah itu cukup menampung keperluan makanan 1.1 juta penduduk Gaza selama sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:11 PM