MAT Zaki ditemani Ram Singh ketika mahkamah berhenti rehat pada perbicaraan hari kelima kes bunuh pemandu e-hailing, di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MAT Zaki ditemani Ram Singh ketika mahkamah berhenti rehat pada perbicaraan hari kelima kes bunuh pemandu e-hailing, di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Saksi ke-12 prosiding perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing membabitkan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa terdapat kesan darah di luar dan dalam kenderaan mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.

Detektif Sarjan Lasim Jumadi yang juga Jurufoto di Unit Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berkata, sebanyak 11 keping gambar diambil di lokasi kejadian menggunakan kamera digital model Canon EOS 60D berserta kad memori HDSC Toshiba 8GB pada 16 Januari 2023, jam 12.55 tengah hari.

Selain itu katanya, sebanyak 23 keping gambar pemeriksaan kenderaan jenis Perodua Myvi (milik si mati) warna putih turut diambil menggunakan kamera yang sama semasa pasukan forensik menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan itu di kawasan perkarangan IPD Tawau pada 17 Januari 2023, jam 4.30 petang.

Menjawab soalan Peguam Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas, beliau turut mengesahkan terdapat kesan darah ditemui pada kerusi pemandu.

Beliau memberi keterangan pada kes bunuh Nurman Bakaratu, 61, membabitkan lapan tertuduh iaitu Mat Zaki, enam anggota polis dan seorang awam.

Tertuduh, Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, di sini, di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 3:36 PM