ENAM anggota polis tiba di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu membabitkan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain. FOTO Bernama
ENAM anggota polis tiba di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu membabitkan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain. FOTO Bernama
BERNAMA

Tawau: Seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau menahan tiga anggota pasukan keselamatan itu di pejabat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Lahad Datu berhubung kes bunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu.

Inspektor Muhamad Nazmi Zulkafli, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Terancang D14 berkata, Rosdi Rastam dan Khairul Azman Bakar ditahan pada 5.25 petang 25 Januari manakala John Kennedy Sanggah pada 3.30 petang 27 Januari 2023 selepas pihaknya menerima maklumat yang menyatakan ketiga-tiga suspek berada di pejabat ESSCOM.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata pada hari berkenaan, beliau ke pejabat ESSCOM menaiki kenderaan bersama pasukannya sebelum berjumpa dengan ketiga-tiga suspek.

"Saya perkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa. Saya meminta suspek mengeluarkan kad pengenalan diri dan saya semak (sama ada) suspek adalah individu yang saya kehendaki.

"Saya membuat pemeriksaan tubuh badan suspek dan turut merampas telefon bimbit mereka.

"Mereka yang ditangkap di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad pada hari keenam perbicaraan kes bunuh Nurman membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM SAC Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, Kennedy, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Terdahulu, Muhamad Nazmi memaklumkan mahkamah bahawa pada 22 Januari tahun lalu, beliau dihubungi oleh Penolong Pengarah D14 ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew untuk ke IPD Tawau bagi membantu kontinjen Sabah membuat tangkapan berhubung laporan polis bagi satu kes bunuh.

Saksi itu berkata pada 7.30 pagi esoknya, beliau bersama pasukan berlepas ke Sabah dan tiba pada 10 pagi sebelum menghadiri sesi taklimat oleh ACP Mohd Hakim Hashom selaku pegawai penyiasat.

"Semasa sesi taklimat itu, saya terima arahan daripada ACP Mohd Hakim untuk melakukan risikan dan tangkapan ke atas tiga suspek bernama Rosdi Rastam, Khairul Azman Bakar dan John Kennedy Sanggah bagi tujuan membantu siasatan," katanya.

Menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, Muhamad Nazmi menafikan ketiga-tiga suspek ditahan kerana mereka terbabit dalam jenayah terancang.

"Saya hadir ke Sabah bukan untuk kes jenayah terancang," katanya.

Disoal semula oleh Mohammad Fakhrurrazi mengapa pegawai polis D14 turun ke Sabah untuk membuat tangkapan, Muhamad Nazmi berkata beliau dan pasukannya diarah membuat tangkapan ke atas suspek berkaitan kes bunuh dan bukan jenayah terancang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:52 PM