Datuk Mat Zaki (kanan berkopiah) bersama tertuduh yang lain hadir perbicaraan hari ketiga Kes bunuh pemandu e-hailing, di Mahkamah Tinggi, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Datuk Mat Zaki (kanan berkopiah) bersama tertuduh yang lain hadir perbicaraan hari ketiga Kes bunuh pemandu e-hailing, di Mahkamah Tinggi, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Saksi pendakwaan kelapan (PW8) kes bunuh pemandu e-hailing memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, dan bekas isteri si mati dilihat seperti pasangan kekasih.

Shim Vui Nyen, 51, yang juga pemilik pub di Lahad Datu berkata mengenainya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol pada hari ketiga perbicaraan hari ini.

Menurut Vui Nyen, ia berdasarkan gerak geri antara Mat Zaki dan bekas isteri (si mati) yang dikenali sebagai Anna Juli atau Ann.

Rohaiza: Boleh jelaskan kepada mahkamah kenapa kamu boleh nampak mereka sebagai sepasang kekasih?

Vui Nyen : Daripada gerak geri antara mereka berdua.

Rohaiza : Boleh jelaskan, berdasarkan pengakuan kamu, sejak bila mereka nampak sebagai pasangan kekasih?

Vui Nyen : Saya yang perasan, kadang-kala.

Rohaiza : Boleh jelaskan kepada mahkamah sejak bila mereka dilihat sebagai pasangan kekasih?

Vui Nyen : Selepas minum-minum.

Rohaiza : Berdasarkan pengetahuan kamu, apa status perkahwinan Ann?

Vui Nyen : Saya pernah bertanyakan Ann dan dia cakap dia bujang.

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas peguam yang mewakili Mat Zaki, Datuk Ram Singh mendakwa saksi berbohong dalam keterangannya kerana tiada sebarang bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis (PUB) terbabit.

Pada 8 Februari tahun lalu, enam anggota polis termasuk seorang awam iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anak Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34 (wanita warga Indonesia) didakwa membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Pada 11 April, seorang lagi anggota polis, John Kennedy Sanggah, 44, turut didakwa atas pertuduhan membunuh Nurma, di tempat dan waktu yang sama.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John Kennedy mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:42 PM