TERTUDUH kes bunuh pemandu e-hailing di bawa keluar dari bilik bicara pada perbicaraan hari keempat, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TERTUDUH kes bunuh pemandu e-hailing di bawa keluar dari bilik bicara pada perbicaraan hari keempat, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BERNAMA

Tawau: Seorang pegawai polis dari Unit D7a memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa dia tidak pernah mencemar atau mengusik bahagian dalam sebuah kereta yang dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing di sebuah ladang kelapa sawit pada awal tahun lalu.

Semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Fakhrurrazi Ahmad, saksi pendakwaan Inspektor Muhammad Amir Aiman Abu, 33, berkata, dia hanya bertindak atas arahan pegawai penyiasat untuk merampas kereta terbabit dan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini.

Menurutnya, kereta itu ditunda oleh sebuah syarikat tunda kenderaan tanpa sesiapa perlu memasuki kereta tersebut.

Mohammad Fakhrurrazi: "Semasa menjawab cadangan peguam Datuk Ram Singh iaitu kamu telah mencemarkan eksibit yang sangat penting di tempat kejadian jenayah, boleh jelaskan kenapa kamu tidak bersetuju?"

Muhammad Amir Aiman: "Saya tidak pegang secara langsung barang kes yang saya serahkan kepada pegawai penyiasat."

Mohammad Fakhrurrazi: "Semasa menjawab cadangan peguam (Erveana Ansari) iaitu mustahil tidak ada sesiapa di dalam kereta tersebut, brek tangan perlu dilepaskan untuk menarik kereta, boleh jelaskan mengapa kamu tidak bersetuju?"

Muhammad Amir Aiman: "Saya tidak bersetuju (cadangan Erveana) kerana saya tidak pasti sama ada brek tangan tersebut berfungsi atau tidak ketika itu."

Pegawai polis dari IPD Tawau itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu, 61, membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Saksi pendakwaan ke-11 itu juga memberitahu mahkamah dia tidak setuju cadangan peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin bahawa dia cuai ketika menunda kereta itu dengan tidak mempedulikan apa berlaku dengan kereta itu dan hanya fokus menunda kereta berkenaan keluar dari tempat kejadian ke IPD Tawau.

"Saya tidak mengganggu apa-apa kesan mahupun barang yang terdapat di kenderaan tersebut," katanya ketika diperiksa semula oleh TPR.

Perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol bersambung pada 22 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 5:46 PM