GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bertindak sebagai pemberi rasuah kepada penjawat awam bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan bernilai lebih RM630,000.

Lelaki berusia awal 60-an itu yang juga pengarah syarikat pembekalan ditahan di Pejabat SPRM Melaka, di sini, pada jam 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, penahanan dibuat terhadap suspek yang disyaki merasuah penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan di negeri ini dengan membayar belasan hingga puluhan ribu ringgit wang rasuah bagi memastikan kerja-kerja pembekalan di jabatan berkenaan diperoleh.

"Kes ini membabitkan perolehan keseluruhan berjumlah RM639,104," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek selain tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam dari pelbagai jabatan untuk siasatan lanjut.

Katanya, rantaian kartel rasuah perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan kerajaan negeri Melaka berlarutan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 1:58 PM